Sunday, 18 December 2016

TRIP TO EUROPE

Catatan Backpackers (edisi eropah)
Day 1

Mereka berjaya membina kota tersergam indah dengan kemajuan yang menjangkaui kotak fikiran manusia dek kerana usaha mereka yang berterusan dengan ilmu. Namun sayang mereka tak mengecapi nikmat iman dan Islam, akibat ego nenek moyang mereka mendustakan anbiya' terdahulu.

Fikirkan wahai saudara, jika kita yang Allah beri nikmat iman dan Islam ini berusaha bersungguh-sungguh untuk ilmu, bersemangat untuk memajukan ummah dengan Islam, tidak mustahil 'Konstantinopel Kedua' bakal menjelma dalam genggaman kita.

Akhukum fillah,
Muzuza
Amsterdam, Netherland
29 November 2016

—————

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 2

Kita di tanah air memang selesa dan mudah sehingga terleka. Sedang mereka di negara asing bersusah payah untuk mengamalkan Islam walau dengan hanya memakai kopiah.

Maka gunakan kelebihan dan peluang yang Allah kurniakan untuk memartabatkan Islam di dalam diri dan bumi kita.

Akhukum fillah,
Muzuza
Aachen, Germany.
30 November 2016

—————

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 3

Alhamdulillah, kelmarin sempat singgah di Pusat Islam Brussels di Belgium. Kami amat gembira bertemu penjaga-penjaga di sini yang mesra membantu kami untuk menyediakan ruang solat di sini.

Walau kurang fasih, saya cuba berinteraksi dengan menggunakan bahasa arab. Pada awalnya mereka hanya berbahasa perancis.

Sempat bertanya, bagaimana komuniti Islam di Belgium. Mereka berkata walau muslim di Belgium memang minoriti namun mereka bersungguh untuk mencari ilmu Islam.

Alhamdulillah, gembira bertemu saudara kita di sini. Moga ukhuwah kami bersama Sy. Abdul Salam, Sy. Abdul Ghafur dan Sy. Abdul Salam, berkekalan kerana agama yang murni ini.

Akhukum fillah,
Muzuza
Brussels, Belgium.
1 Disember 2016

---------------

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 4

Di Eropah, mereka tidak mengajarkan apa itu A,B,C dahulu, mereka tidak mengajarkan satu dua tiga dahulu. Tetapi di sekolah awal mereka, hanya belajar akan adab bersama komuniti, adab bersama guru dan adab bersama ibu bapa.

Mereka betul dalam bab ini. Jika diterap adab dalam menuntut ilmu, kita akan temui  masyarakat yang lebih berjaya. Benar. Ikutlah sunnah nabi, ajaran para ulama' yang tidak pernah tinggalkan adab dalam hidup mereka.

Akhukum fillah,
Muzuza
Dusseldoff, Germany.
2 Disember 2016

———————

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 5

Alhamdulillah, berpeluang untuk solat jumaat di Masjid Al-Imam Malik, daerah Aachen. Sebaik sahaja saya masuk, hampir kesemuanya membaca al-quran dan berzikir. Susah sekali untuk melihat orang yang bersembang kosong.

Mereka memastikan saff mereka sempurna sebelum solat, dan sesudah solat, mereka bersalaman dan berkongsi cerita seperti semuanya adik-beradik. Bangga rasanya melihat suasana ikhwah itu menjadi realiti.

Alangkah indahnya ukhuwah kerana agama.

Akhukum fillah,
Muzuza
Aachen, Germany.
2 Disember 2016
2 rabiul awal 1438

———————

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 6

Alhamdulillah, baru tiba di London. Kami mendapati ramai yang menetap di kawasan penempatan ini adalah mereka yang muslim. 90% dari penduduk di kawasan ini adalah muslim, jadi amat mudah untuk kami mencari restoran halal di sini.

Ramai yang berkopiah dan berhijab di sini. Satu suasana yang baik untuk kita saksikan di bumi London ini, malah apa yang mengagumkan kami, terdapat kedai yang menjual jubah, kitab-kitab ilmu Islam untuk kemudahan muslim di sini. Walau ramai yang menghimpit Islam di segenap sudut, di sana terdapat ramai yang cuba mendalami Islam dengan tekun dan penuh keikhlasan.

Firman Allah swt :

‎"يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ"

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
(As-Saff - 8)

Akhukum fillah,
Muzuza
London, England.
3 Disember 2016
3 Rabiul awal 1438

———–——

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 7

Alhamdulillah berpeluang untuk pergi ke Pusat Beli Belah Harrods, National History Museum dan kedai cenderamata untuk kenalan kami di tanah air. Kami juga sempat bersolat dan menjamu selera di Malaysian Hall. Sempat juga bersua dengan pelancong-pelancong dari Malaysia dan pelajar-pelajar dari Malaysia di sini.

Apa yang menarik perhatian kami, penduduk di sini amat peramah dan sangat membantu apabila kami bertanyakan jalan untuk ke tempat-tempat yang kami tuju. Kami merasakan sikap ini perlu ada dalam diri kita lebih-lebih lagi kepada diri pendakwah untuk mencapai uslub yang baik.

Firman Allah swt ;

‎"ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ"


Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
(An-Nahl - 125)

Akhukum fillah,
Knightsbridge, London.
4 Disember 2016
4 Rabiul Awal 1438

——————

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 8

Alhamdulillah, berpeluang untuk pergi ke Buckingham Palace, SOHO dan London Bridges. Kami memerhatikan sepanjang musafir kami, amat susah dan jarang untuk menjumpai mereka (orang eropah) yang berjalan dengan perlahan atau berlenggang dan melepak. Kebanyakannya berjalan laju atau berlari untuk mengejar masa.

Kami merasakan ini adalah sifat yang baik kerana sepatutnya masa dihabiskan dengan apa yang terbaik. Firman Allah swt ;

‎"وَالْعَصْرِ"

Ulama' lughah mendefinisikan kalimah al-asr (العصر) asalnya bermaksud perahan. Jika diteliti makna perahan, ia memberi tafsiran menggunakan keseluruhan tanpa meninggalkan apa yang perlu dan membuang apa yang tidak perlu.
Oleh itu ditekankan kepada kita bahawa setiap detik dalam kehidupan haruslah digunakan dengan sebaik mungkin dan sebaik-baik masa itu adalah masa yang digunakan atas jalan ketaatan kepada Allah.

Akhukum fillah,
Muzuza
Bank, London
5 Disember 2016
5 Rabiul Awal 1438

—————

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 9

Alhamdulillah, tiba di Paris. Sempat pergi ke Eifel Tower, Charles De Gaulle dan Pyramid. Ramai yang menetap di Paris ini beragama Islam.

Kami memerhatikan, ramai dalam kalangan penduduk di Eropah memegang buku ketika menaiki kereta api (tram), ataupun membaca melalui telefon bimbit. Kami merasakan suatu anugerah yang amat bernilai yang telah Allah kurniakan kepada mereka iaitu menyedari hakikat kepentingan ilmu.

Firman Allah swt ;

‎"اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ"

Ulama' yang terdahulu, amat mementingkan amalan membaca dalam kehidupan mereka. Fadhilah as-Syeikh Dr Mustafa Wahbah Az-Zuhaili di akhir umurnya dikatakan menghabiskan masa untuk membaca selama 16 jam.

Ramai lagi ulama' lain yang menghabiskan masa dalam hidup mereka untuk membaca dan menuntut ilmu secara istimrar. Kami merasakan ia menjadi suatu kerugian yang amat besar kepada sesiapa yang tidak mementingkan pembacaan dalam hidup dan mungkin juga mampu menyebabkan kita ketinggalan dalam kemajuan ilmu dan seumpamanya.

Akhukum fillah,
Muzuza
St. Germain de Près
7 Disember 2016
7 Rabiul Awal 1438

——————

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 10

Alhamdulillah, hari ini sempat singgah di Zurich, Switzerland sebelum berangkat ke Friedrichaffen untuk menginap di sana.

Setelah sepuluh hari mengembara di bumi Eropah ini, kami menerima pelbagai respon dari kenalan dan juga rakan di facebook. Ada yang mengecam dan ada juga yang memberikan galakan.

Apapun kami tidak mengharapkan yang lain selain redha Allah yang paling utama dan seterusnya manfaat kepada yang lain. Apa yang penting, kami merufu'kan rasa syukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah memberi kami peluang untuk melihat bumi ini untuk mengambil ibrah.

Tidak terbayang oleh kami bagaimanakah Rasulullah saw dahulu bermusafir untuk menyebarkan dakwah dalam keadaan penat dan lelah. Kami sendiri merasakan agak penat walau bermusafir menggunakan kenderaan.

Moga kembara ini memberi manfaat kepada kami dan semua atas perkongsian kami.

Akhukum fillah,
Muzuza
Zurich, Switzerland
8 Disember 2016
8 Rabiul Awal 1438

——-----------

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 11

Alhamdulillah, hari ini pergi ke bandar Komstamz (sempadan Jerman dan Switzerland) menaiki feri dari pelabuhan Friedrichafen.

Kami menemui kisah menarik di bandar ini. Seawal kami sampai ke jeti, kami melihat satu patung besar yang berbentuk seorang wanita yang memegang seorang raja di tapak tangan kanannya dan tangan kirinya memegang seorang pope.

Suatu masa dahulu, pernah terjadi rusuhan  antara penganut kristian. Pada ketika itu juga, bandar ini dipenuhi dengan pelacur dan patung ini dikatakan menjadi simbolik bahawa raja dan pope semuanya tunduk kepada pelacur yang menjadi pemuas nafsu syahwat si pemerintah bandar.

Sebelum berangkat ke Konstamz, kami sempat masuk ke Zeppelin Museum yang mempamerkan tinggalan sejarah berkenaan kapal perang Zeppelin. Uniknya, kapal perang Zeppelin ini digeruni pada zaman dahulu walaupun kelajuannya hanya rendah, namun melepaskan bom yang mampu meledak hingga terhapus sebuah kota dari pandangan mata.

Kami menemui konklusi yang menarik dari dua kisah ini. Mereka (eropah) mempunyai sivik yang tinggi, kemajuan yang agung, namun sayangnya Allah tidak kurniakan nikmat Iman dan Islam yang akhirnya menjadikan pemimpin mereka tunduk kepada kebatilan hanya kerana nafsu syahwat.

Seterusnya, untuk Zeppelin, benar memang Ferdinand Adolf Heinrich August von Zeppelin merupakan  seorang yang hebat kerana mampu mencipta kapal perang yang menjadi kebanggaan dunia suatu ketika dahulu. Namun, mereka juga rugi kerana tidak dikurniakan keimanan yang benar. Sungguh perjuangan Islam itulah roh yang sebenar bagi jiwa kita. Sulami perjuangan dengan ilmu dan semangat yang benar mampu menyelamatkan jiwa dan bumi Allah ini, bukan memusnahkannya.

Natijahnya, Iman dan Islam itulah sebenar-benar keperluan kita. Bersyukurlah kerana Allah mengurniakannya dengan memeliharanya sebaik mungkin.

Akhukum fillah,
Muzuza
Konstamz, Germany
9 Disember 2016
9 Rabiul Awal 1438

---------

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 10+2

Alhamdulillah, hari ini berangkat semula ke Aachen menaiki kereta api di stesen Friedrichafen ke stesen Ulm, kemudian ke stesen Manheim dan terus ke Köln melalui bandar Stuttgart untuk bersiar-siar sebentar. Kemudian menyambung perjalanan ke Aachen.

Semasa berada dalam kereta api, kami bertemu dengan seorang pesara jurutera, Mr. Egbert, 70-an, yang dahulunya bekerja dengan syarikat di Jerman. Apa yang membuat kami kagum, beliau menguasai banyak bahasa dari seluruh dunia antaranya bahasa inggeris, perancis, india, thailand, mandarin dan jepun. Bukan mengetahui, tetapi menguasai.

Beliau bertanyakan kami akan perjalanan kami. Kami juga sempat bertanyakan tentang bagaimana masyarakat di eropah melihat isu-isu semasa yang berlaku seperti status ekonomi dunia, MH370, dan lain-lain, beliau mampu menjawab soalan kami dengan skop yang luas dan menyeluruh.

Kami merasakan kemahiran beliau sangat diperlukan dalam diri kami dan semua umat Islam, iaitu kemahiran menguasai bahasa yang berbagai dengan baik dan sikap peka akan isu semasa. Melihat kepada keadaan hari ini, anak muda tidak lagi peka, minat dan faham dengan isu semasa menjadikan mereka hanya berfoya-foya dan berada dalam dunia mereka secara total. Ini adalah antara senjata ampuh kuffar.

Apabila anak muda lalai, bermakna tiada lagi yang akan mampu menjadi pelapis kepada ketamadunan selepas nenek moyang mereka. Sultan Muhammad Al-Fateh tidak menawan Kota Konstantinopel pada usia 40-an, 50-an, tetapi pada umur 20-an (ada yang berpendapat, umur 18 tahun).

Bangkitlah wahai syababul muntazhar, menyambut baton perjuangan para anbiya'.

Akhukum fillah,
Muzuza
Köln, Germany
10 Disember 2016
10 Rabiul Awal 1438

----------

Catatan backpackers (edisi eropah)
Day 10+3

Kebanyakan negara yang kami lawati mempunyai semangat nasionalisme yang sangat tinggi. Persis Turki dipimpin Mustafa Kamal dan Jerman dipimpin Hitler.

Benar, ia bagus, namun kita mestilah mendahului agama. Semangat cintakan negara itu bagus namun haruslah tidak mendahului agama.

Namun begitu, kerana cintakan negara juga, kita mestilah menyuburkannya dengan agama.

Menyuburkan negara dengan agama,
Menyuburkan negara dengan syariat,
Menyuburkan negara dengan ciri daulah Islamiyyah.

Akhukum fillah,
Muzuza
Roermond, Netherland
11 Disember 2016

No comments:

Post a Comment